top of page

Sambil menunaikan qurban, berpeluang untuk menderma juga

30TH JUNE 2021 BY CORP COMMS


Menegakkan Syiar Qurban Dek Pandemi

Walau dek pandemi seperti tahun lepas, ibadah qurban anjuran Perdaus masih dapat dilaksanakan di Indonesia, Kemboja dan Australia kerana kerjasama organisasi-organisasi di luar negara yang dipercayai, menurut Ustaz Raja Muzaffar Raja Rosli, pegawai projek qurban Perdaus. 

Perdaus mengadakan projek qurban secara tahunan sebagai usaha mengumpul dana. Sebilangan hasil projek akan membiayai program dakwah dan kerja kemasyarakatan.


Ia juga sebagai menegakkan syiar ibadah qurban dan memberi peluang masyarakat Islam Singapura dari pelbagai latar belakang untuk menjalankan ibadah ini dengan harga berpatutan. 


Daging Qurban Diagihkan Di Kawasan Gempa

Organisasi pengendalian qurban Indonesia, Lembaga Manajemen Infaq (LMI) yang sudah lebih sepuluh tahun bekerjasama dengan Perdaus, juga adalah sebuah badan kebajikan kerja kemanusiaan di sana. 


Seekor kambing untuk ibadah qurban di Malang, Jawa Timur, berharga $180. Ia juga boleh diniatkan sebagai aqiqah, nazar atau infaq pada harga yang sama. Kambing akan disembelih dan diagihkan ke penduduk kampung yang fakir miskin di sana. 


“Ramai penduduk kampung jarang mendapat peluang menjamah daging sepanjang tahun. Oleh itu, habuan daging kambing cukup dihargai,” ulas Ustaz Raja. Seramai 9,259 orang penduduk di kabupaten Malang menerima daging dari 795 ekor kambing.


Para pekerja dan sukarelawan LMI mengemas bekas-bekas mengkuang berisi daging qurban yang akan diagihkan.


Tahun ini, daging qurban juga akan diagihkan kepada daerah-daerah yang dilanda gempa bumi di Malang pada bulan April lepas. LMI, selaku badan kebajikan di sana, cukup arif tentang sokongan yang diperlukan para mangsa gempa.


Selain itu, Perdaus juga memberi peluang bagi peserta Singapura untuk menginfaq 10kg beras berharga $15 (atau 40kg berharga $50) bagi keluarga-keluarga yang memerlukan di Malang. Sebagai langkah menyokong seluruh masyarakat, pihak LMI membeli beras dari para petani padi tempatan di Indonesia, dan melalui kempen infaq ini, mengagihkannya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan. 


Di Kemboja Pula


Di Kemboja pula, Perdaus bekerjasama dengan Persatuan Pembangunan dan Pendidikan Islam Kemboja (IDEA) untuk menjalankan projek qurban. IDEA akan menjalankan amanah tempahan qurban yang akan disembelih pada Hari Tasyriq. Sebahagian lembu di Kemboja berharga $155; seekor lembu berharga $995. Ia akan dilangsungkan di sekurang-kurangnya dua wilayah dan dagingnya juga akan diagihkan kepada penduduk-penduduk kampung masyarakat Islam yang memerlukan. Jumlah lembu untuk projek di Kemboja adalah terhad.


Selain itu, peserta juga berpeluang menaja barangan sekolah untuk kanak-kanak perkampungan tersebut. Satu set tajaan berharga $15; 4 set berharga $50.


Daging Qurban Diterbangkan Dari Australia Ke Singapura

Ingin merasai daging qurban anda? Daging dari qurban kambing biri-biri dan lembu dari Australia akan dibekukan dan diterbangkan dari Australia dan dianggarkan akan tiba di Singapura melalui udara lebih dari seminggu selepas Hari Tasyriq. Semua ini dikendalikan Alqudsi Agribusiness, rakan kerjasama Perdaus sejak lima tahun lalu. Jumlah kambing biri-biri ini juga sangat terhad. 


Seekor kambing biri-biri berharga $320 dan dagingnya dianggarkan seberat 17 hingga 20 kg. Daging akan dipotong kecil-kecilan, dibungkus dengan vakum dan dihantar dalam beg sejuk. Peserta juga boleh memilih untuk menerima kesemua daging atau dua pertiga sahaja. Sepertiga akan didermakan di Singapura; jumlah yang dikumpulkan untuk diderma mencecah 750kg pada tahun lepas dan diedarkan kepada keluarga-keluarga tempatan yang berpendapatan rendah.


Peluang Wakaf Mushaf Selain Berqurban

Peserta berpeluang mewakafkan mushaf Al-Qur’an kepada yang memerlukan dan kepada masyarakat muallaf, dijayakan dengan kerjasama Dompet Quran Indonesia (DQ). Tahun lepas, projek ini berjaya mengagihkan lebih dari 2,000 mushaf Al-Qur’an di Jawa Timur, yang diwakafkan masyarakat Singapura. Wakaf semashaf Al-Qur’an berharga $15; empat mashaf Al-Qur’an yang diwakafkan berharga $50. 


Untuk Menempah

Mereka yang berminat untuk menempah atau bertanya soalan, boleh menghubungi pegawai qurban Perdaus, Ustaz Raja di 8127 3729 atau lungsuri www.perdaus.org.sg/qurban .


Perdaus menerima pembayaran melalui PayNow, pemindahan akaun dan Stripe.


Pejabat Perdaus di Bedok dan Bukit Batok masih ditutup dalam tempoh pemutus litar Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), dan hanya akan dibuka dengan membuat temujanji dengan pegawai kami untuk pembayaran tunai atau Nets:

  • Imad Perdaus Bukit Batok: Blk 364 Bukit Batok St 31 #01-259 Singapura 650264 tel: 6513 2300

  • Imad Perdaus Bedok: Blk 125 Bedok North Road #01-115 Singapura 460125 tel: 8127 3729

Tarikh tutup pendaftaran bagi tempahan qurban ialah 18 Julai 2021 atau selagi stok masih ada. 

Comments


bottom of page